global

Puluhan militan asing bantu Maute

Oleh Reuters

PULUHAN militan asing berperang bersama-sama ratusan militan Maute di Marawi, termasuk dari Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Reuters yang memetik sumber perisikan Filipina melaporkan, antara 400 hingga 500 anggota kumpulan bersenjata Maute bertempur dengan tentera kerajaan di Marawi, jumlah yang jauh lebih besar berbanding angka dikeluarkan tentera, tidak sampai 100 militan sebelum ini.

Menurut sumber perisikan itu, sehingga 40 militan asing datang ke Mindanao baru-baru ini, termasuk dari Indonesia, Malaysia, sekurang-kurangnya seorang dari Pakistan, serta seorang dari setiap negara berikut iaitu Arab Saudi, Chechnya, Yaman, India, Maghribi, dan seorang pemegang pasport Turki.

AP melaporkan, Ketua Turun Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Eduardo Ano, berkata antara militan asing yang disahkan terbunuh ialah dari Malaysia, Indonesia dan negara Arab.

Setakat ini, menurut angka dikeluarkan kerajaan, jumlah kematian lebih 100 orang iaitu 65 militan, sekurang-kurangnya 20 tentera dan polis serta 24 orang awam.

Tahun lalu, militan di Asia Tenggara yang menyokong Negara Islam (IS) di Syria, menyiarkan video mendesak penduduk Filipina, terutama di Mindanao, menyertai perjuangan mereka di selatan negara itu atau melancarkan serangan di negara masing-masing daripada pergi berjuang di Syria.

Maute dan rakan sekutunya, Abu Sayyaf, sudah menyatakan secara terbuka sokongan kepada IS. Militan Maute berperang dengan tentera Filipina di Marawi bagi membolehkan ketua Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, melepaskan diri daripada diberkas atau dibunuh pihak berkuasa ketika mendapatkan rawatan di bandar itu, minggu lalu.

Setakat ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata empat rakyat Malaysia dikenal pasti terbabit dalam pertempuran di Mindanao.

Reuters yang mendakwa melihat data perisikan Filipina, Indonesia yakin 38 rakyatnya pergi ke Mindanao untuk menyertai kumpulan bersenjata di sana dan 22 daripada mereka terbabit dalam pertempuran di Marawi.

Bagaimanapun, sumber pihak berkuasa Indonesia menyatakan jumlah sebenar rakyat negara itu terbabit dalam pertempuran lebih daripada 40 orang.

Pihak berkuasa Indonesia percaya mereka memasuki Mindanao dengan alasan menyertai perhimpunan tahunan Tabligh Jamaat yang diadakan beberapa hari sebelum pertempuran bermula.

Tabligh Jamaat ialah pertubuhan dakwah Islam yang tidak terbabit dengan politik atau perjuangan bersenjata.

Indonesia kini meningkatkan kawalan di utara Kalimantan dan Sulawesi bagi menghalang rakyatnya ke Filipina melalui laut - perjalanan hanya selama lima jam - serta menghalang kemasukan militan yang mungkin melarikan diri dari Mindanao.

Sehingga kini, 180,000 orang atau 90 peratus penduduk sudah meninggalkan Marawi sejak pertempuran bermula minggu lalu. Walapun 90 peratus penduduk Filipina beragama Kristian, namun majoriti penduduk Mindanao adalah Islam.

Seorang penduduk Kristian di Marawi, Dela Pena, berkata penduduk Islam dan minoriti Kristian hidup aman sepanjang 17 tahun lalu, sehinggalah kerajaan mengebom kem kumpulan bersenjata Islam yang terletak kira-kira 50 kilometer dari bandar itu, beberapa bulan lalu.

Menurut Dela Pena yang kini melarikan diri ke Iligan, 37 kilometer dari Marawi, kumpulan itu memindahkan pusat operasi mereka ke Marawi.

“Mereka datang dalam kumpulan kecil. Mereka ada saudara-mara di sana. Mereka tinggal di situ dan mula mengambil ahli baru tanpa disedari kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kekecohan bermula apabila tentera yang mahu memberkas Isnilon diserang hendap militan bersenjata lengkap.

Dela Pena mendakwa lebih 200 militan tempatan dan asing dari kumpulan Maute dan kumpulan bersenjata lain dilihat berada di Marawi, menawan hospital, penjara dan gereja.

Disiarkan pada: May 30, 2017 @ 9:38pm
d