global

Tentera jangka tentangan sengit

Oleh Agensi

TENTERA Filipina hari ini, yang menyatakan sudah menguasai 90 peratus bandar Marawi selepas tujuh hari pertempuran menyebabkan 89 militan terbunuh.

Pertempuran bagi menawan kawasan yang masih dikuasai militan dijangka sengit kerana selain ada orang awam dijadikan tebusan, tentera menjangka ia dikawal rapi bagi melindungi ketua Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang diyakini masih berada di bandar itu.

Jurucakap tentera, Brigadiar Jeneral Restituto Padilla, berkata tiga pemipin militan dipercayai masih berada di bandar itu.

“Baki 10 peratus kawasan yang masih dikuasai militan itu kami jangka dikawal ketat kerana melindungi orang yang bernilai tinggi,” katanya.

Tiga pemimpin militan yang dimaksudkan itu ialah Isnilon dan dua beradik, Abdullah dan Omar Maute yang pemimpin kumpulan bersenjata Maute, sekutu Abu Sayyaf yang melindungi Isnilon di Marawi.

AFP melaporkan, helikopter masih melepaskan bedilan roket di kawasan tertentu di Marawi pagi ini.

Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 1,000 penduduk masih terperangkap di kawasan pertempuran yang dikuasai militan dan pasukan keselamatan sedang berusaha menyelamatkan mereka. Semalam, kira-kira 1,000 penduduk yang terperangkap, berjaya dibawa keluar.

Menurut Padila, 19 orang awam dibunuh militan dan menegaskan serangan udara tepat oleh tentera tidak menyebabkan seorang pun orang awam terbunuh.

Beliau berkata, 21 anggota keselamatan, sebahagian besarnya tentera terbunuh dalam pertempuran menjadikan jumlah keseluruhan 129 orang.

Disiarkan pada: May 31, 2017 @ 5:32pm
d