global

Beri tentangan sengit

Oleh Reuters

Marawi: Serangan pemberontak Maute terhadap bandar ini yang berlanjutan lebih satu minggu sukar ditangani kerana kumpulan itu memperoleh senjata api dan peluru yang dicuri serta dibantu militan yang melarikan diri dari penjara, kata tentera semalam.

Kumpulan yang menyokong Daish itu mengatasi ramalan apabila masih bertahan di tengah bandar Marawi walaupun tentera melancarkan serangan udara selama beberapa hari.

Tentera semalam buat pertama kalinya menghantar pesawat sokongan SF-260 untuk membantu serangan udara dari helikopter dan askar bagi mengepung militan berkenaan.

Jurucakap tentera, Restituto Padilla memberitahu, militan itu masih menguasai satu persepuluh kawasan di Marawi.

Katanya, militan itu meneruskan serangan dengan menggunakan senjata api dan peluru yang dicuri dari balai polis, penjara dan kenderaan perisai polis.

“Senjata dan peluru ini mereka gunakan untuk menangkis serangan pasukan keselamatan yang dihantar ke bandar ini.

“Militan juga membebaskan rakan mereka dari penjara untuk menyertai pertempuran.

“Mereka juga memilih bertempur di bandar kerana mudah mendapatkan bekalan makanan dari rumah dan premis perniagaan,” jelasnya.

Menurutnya, tentera dijangka berdepan tentangan sengit bagi menguasai semula 10 peratus kawasan bandar yang dikuasai militan.

Tentera menegaskan situasi kini terkawal tetapi perkembangan perlahan dalam usaha menawan semula Marawi mencetuskan persoalan mengenai strategi pihak berkuasa.

Pertempuran di Marawi menyebabkan 89 militan terbunuh. Seramai 21 anggota keselamatan dan 19 orang awam juga maut.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 10:15am
d