global

Lapan militan asing disah terbunuh

Oleh Agensi

LAPAN pejuang asing antara hampir 120militan yang terbunuh di Marawi, Mindanao, ermasuk beberapa dari Malaysia, Chechnya, Indonesia dan Yaman.

AP melaporkan, dalam sidang medianya, Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, berkata kira-kira 500 militan terbabit dalam ‘perang’ di Marawi.

Melalui sidang media yang disiarkan televisyen Filipina itu, Lorenzana berkata, antara militan asing yang terbunuh ialah dari Chechnya, seorang dari Yaman, beberapa dari Malaysia dan Indonesia.

Menurutnya, setakat ini 25 militan yang terbunuh dikenal pasti dari Filipina.

Menurut AFP, Lorenzana berkata, pada awal pertempuran, kira-kira 500 militan terbabit dan percaya kini hanya antara 50 hingga 100 militan masih ada di Marawi.

Menurut angka tentera, 120 militan terbunuh, bermakna ada sehingga 330 lagi militan di Marawi, namun mereka mungkin sudah berundur atau gagal dikesan tentera.

Pada awal pertempuran, kerajaan dan tentera Filipina menyatakan jumlah militan yang terbabit dalam ‘perang’ di Marawi hanya antara 40 hingga 60 orang, sebelum menyatakan angka sehingga 500 militan mulai minggu ini.

Reuters melaporkan, 38 tentera maut, termasuk 11 yang terbunuh akibat kesilapan serangan udara pesawat tentera hari ini, yang turut menyebabkan tujuh tentera cedera.

Menurut Lorenzana, dua pesawat tempur jarak dekat SF-260 milik tentera udara menggugurkan bom di Marawi dengan bom pesawat pertama mengenai sasaran.

Bom pesawat kedua tersasar mengenai mengenai sekumpulan tentera sedang bertempur jarak dekat dengan militan yang berlindung dalam bangunan dan rumah.

Tentera Filipina menggunakan gabungan serangan darat dan bedilan roket dari helikopter sejak minggu lalu, bagi memaksa militan keluar dari bangunan, dan mula menggunakan peawat SF-260, semalam.

Disiarkan pada: June 1, 2017 @ 4:05pm
d