global

Daish serang orang awam Mosul

Oleh Reuters

Baghdad: Kira-kira tujuh orang terbunuh dan 23 cedera akibat tembakan mortar oleh militan Daish ketika mereka cuba melarikan diri dari daerah Zanjili di Mosul.

Zanjili ialah sebahagian daripada beberapa daerah yang masih dikuasai Daish di bandar di utara Iraq itu, selain pusat Bandar Lama Mosul dan kompleks hospital Bandar Perubatan.

Tentera Iraq yang disokong Amerika Syarikat memulakan operasi sejak 27 Mei lalu bagi menawan kawasan berkenaan dan turut menggugurkan risalah mendesak keluarga didaerah terbabit meninggalkan kediaman masing-masing.

Polis Iraq berkata, penduduk yang menjadi sasaran serangan semalam adalah sebahagian daripada kumpulan orang awam pertama berjaya melarikan diri dari Zanjili.

Puluhan penduduk awam lain berjaya tiba di kawasan yang dikuasai tentera kerajaan tanpa mengalami kecederaan walaupun menggunakan laluan sama untuk melarikan diri.

Militan terbabit mengarahkan puluhan keluarga yang tinggal di daerah Zanjili berpindah ke Bandar Lama Mosul bagi menghalang mereka melarikan diri, kata seorang penduduk.

Operasi menawan Mosul kini memasuki bulan kelapan dan ia lebih lama daripada yang dirancang kerana tentera terpaksa mara secara berperingkat bagi mengelak kematian dalam kalangan orang awam.

Kejayaan menawan bandar raya itu akan menandakan kejatuhan separuh daripada ‘negara khalifah’ di Iraq yang diisytiharkan pemimpin Daish, Abu Bakr al-Baghdadi menerusi ucapan di sebuah masjid bersejarah di Bandar Lama Mosul.

Kira-kira 200,000 orang awam yang dipercayai masih terperangkap di kawasan yang dikuasai Daish di Mosul, berdepan masalah bekalan makanan, air minum dan ubat-ubatan.

Di Syria, militan Kurdis dengan bantuan serangan udara Amerika Syarikat kini mengepung Daish di bandar Raqqa, ibu negara sementara kumpulan itu.

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:50am
d