global

Pejabat Imigresen mahu batalkan pasport Rizieq

Jakarta: Pejabat Imigresen Indonesia bercadang membatalkan pasport ulama bersuara lantang, Rizieq Shihab selepas dia masih mengelak siasatan polis dan enggan menyerah diri berkait dengan skandal pornografi, kata seorang pegawai semalam.

Polis sebelum ini menamakan Rizieq sebagai suspek dalam kes itu dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya Selasa lalu, sehari sebelum memasukkan pemimpin Barisan Pembela Islam (FPI) itu ke dalam senarai orang paling kehendaki.

Ketua Pengarah Imigresen Kementerian Kehakiman dan Hak Asasi Manusia, Ronny Sompie berkata, pejabatnya akan menunggu senarai daripada polis sebelum membatalkan pasport Rizieq.

“Pembatalan pasport itu perlu bagi membolehkan pejabat imigresen negara tempat dia bersembunyi membantu kerajaan Indonesia membawa dia balik,” kata Ronny di Jakarta.

Jurucakap polis Jakarta, Komodor Kanan Raden Prabowo Argo Yuwono berkata, maklumat daripada Pejabat Imigresen menunjukkan Rizieq meninggalkan Indonesia bersama keluarganya 26 April lalu untuk menunaikan umrah dan dipercayai masih berada di Arab Saudi.

“Ini mendorong kami memasukkan dia ke dalam senarai orang dikehendaki,” kata Argo.

Rizieq dituduh melanggar undang-undang antipornografi apabila dia didakwa bertukar-tukar mesej lucah dengan seorang ketua sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Firza Hussein.

Pemimpin FPI itu sebelum ini gagal memenuhi dua saman polis untuk menjadi saksi dalam kes itu.

Jika didapati bersalah, Rizieq dan Firza boleh dihukum penjara lima tahun. - Agensi

Disiarkan pada: June 2, 2017 @ 9:57am
d