global

Derita 12 tahun

Oleh Agensi

Bangkok: Seorang wanita yang tersilap diagnos positif virus HIV pada usia lapan tahun menuntut pampasan dari kerajaan kerana kesilapan itu memusnahkan zaman kanak-kanaknya.

Suthida Saengsumat yang kini berusia 20 tahun menyaman Kementerian Kesihatan Awam Thailand.

Suri rumah yang berasal dari wilayah Roi-et di utara Thailand itu berkata, ketika sekolah dia dipulau rakan-rakan kerana penyakit itu.

“Setiap malam saya menangis seorang diri di rumah. Wang tidak mampu membayar balik apa yang saya hilang sebelum ini,” katanya.

Suthida disahkan menghidap HIV apabila gurunya membawa dia membuat ujian darah kira-kira 12 tahun lalu.

Pihak sekolah bimbang selepas bapanya meninggal dunia akibat Aids dan ibunya mengalami penyakit yang serius.

Dia tidak membuat ujian kedua untuk pengesahan dan sejak itu mula mengambil ubat antiretrovirus setiap hari.

Walaupun percaya dia menghidap Aids, Suthida berkahwin dan secara tidak sengaja hamil sebelum melahirkan anak lima tahun lalu.

Selepas ujian HIV terhadap anaknya negatif, Suthida memutuskan mengambil ujian itu untuk dirinya sekali lagi dan terkejut apabila mendapati dia bebas virus berkenaan.

Keputusan ujian ketiga kelmarin mengesahkan Suthida negatif virus HIV dan keadaan itu menyebabkan wanita itu menangis.

“Saya memberitahu anak saya, mulai hari ini kamu tidak perlu berasa malu lagi kerana ibu kamu tidak menghidap Aids,” jelasnya.

Disiarkan pada: June 4, 2017 @ 12:04am
d