global

AS beri senjata

Oleh AFP

Manila: Amerika Syarikat (AS) semalam memberi ratusan mesingan, pistol dan pelancar bom tangan untuk digunakan dalam pertempuran melawan militan di Marawi.

Senjata itu termasuk mesingan yang mampu melepaskan ribuan peluru seminit diserahkan dalam satu majlis di Manila yang mengetengahkan program bantuan antikeganasan Amerika ke Filipina bernilai kira-kira AS$150 juta (RM640 juta) sejak berdekad-dekad lalu.

Kenyataan kedutaan AS berkata: “Peralatan ini akan meningkatkan keupayaan antikeganasan (Tentera Marin Filipina) dan melindungi (askar) yang melaksanakan operasi di selatan Filipina.”

Ketua Marin Filipina Mejar Jeneral Emmanuel Salamat berkata, senjata itu akan digunakan untuk memerangi kumpulan militan di Marawi.

Kumpulan itu mengibarkan bendera Daish menyerbu Marawi hampir dua minggu lalu dan pertempuran dengan polis serta askar setakat ini mengakibatkan 178 kematian.

Susulan itu, Presiden Rodrigo Duterte mengisytiharkan undang-undang tentera di Mindanao untuk mengekang ancaman Daish yang didakwa semakin merebak.

Filipina dan AS sekutu rapat sejak beberapa dekad lalu dan terikat dengan perjanjian pertahanan bersama pada 1951 yang mewajibkan mereka saling melindungi sekiranya salah satu daripadanya diserang.

AS juga pembekal senjata dan peralatan ketenteraan utama Filipina.

Sementara itu, Duterte menawarkan habuan 20 juta peso (RM1.7 juta) untuk penangkapan pemimpin kumpulan pelampau berkenaan, Isnilon Hapilon, Abdullah Maute dan adiknya Omarkhayam Maute selepas tenteranya menggambarkan kemungkinan pertempuran berterusan untuk lebih lama daripada yang dijangka.

Ketua turus tentera Jeneral Eduardo Ano berkata dalam satu kenyataan: “Kami berharap tawaran ini akan membawa kepada penangkapan mereka.”

Katanya, separuh daripada jumlah itu adalah habuan bagi penangkapan Isnilon yang dianggap ‘amir’ atau pemimpin tertinggi Daish di Filipina.

Pada masa sama, kerajaan AS menawarkan habuan AS$5 juta (RM21 juta) untuk Isnilon kerana penculikan dan pembunuhan rakyatnya, selain tawaran sedia ada 7.4 juta peso (RM639,000) oleh kerajaan Filipina.

Semalam juga, enam ahli Parlimen pembangkang memohon Mahkamah Agung menolak pelaksanaan undang-undang tentera di Mindanao pada 23 Mei lalu sebagai melanggar Perlembagaan.

Disiarkan pada: June 6, 2017 @ 7:58am
d