global

Polis Indonesia tahan dua suspek pengganas

Oleh Agensi

Bandung: Skuad antipengganas polis Indonesia, Densus 88 menahan dua suspek pengganas di sini semalam yang disyaki mempunyai kaitan dengan dua serangan bom berani mati di Jakarta bulan lalu.

Jurucakap polis Jawa Barat, Yusri Yunus berkata, suspek pertama yang dikenali sebagai WT ditahan pagi semalam di Soreang di sini.

“Seorang lagi suspek yang dikenali sebagai MA ditahan pasukan Densus 88 di Cileunyi,” katanya yang dipetik Antara semalam.

Yusri memberitahu, kedua-dua suspek memainkan peranan dalam dua serangan bom berani mati di sebuah terminal bas di Kampung Melayu di Jakarta Timur.

Serangan itu mengorbankan tiga anggota polis.

“Kedua-dua suspek memberi ceramah agama kepada dua pengebom berani mati, Nurul Salam dan Ahmad Sukri sebelum mereka melancarkan serangan 24 Mei lalu.

“WT dan MA memberi ceramah agama kepada penyerang lima hari sebelum mereka melancarkan serangan. Mereka bertemu untuk satu majlis membaca al-Quran,” jelasnya.

Menurutnya, WT mengetuai satu kumpulan dari Yayasan Asykari As Sunnah yang terletak di Cileunyi, Bandung.

“Kami masih menyiasat kandungan ceramah yang diberikan dan adakah mereka menggalakkan dua lelaki itu menjadi penyerang,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 7:40am
d