global

Militan mahu wujud pemerintahan khalifah di Marawi

Oleh Reuters

Marawi (Filipina): Kumpulan militan yang bertempur dengan askar di Marawi merancang menjadikan bandar itu kubu kuat mereka, kata pegawai semalam susulan penyebaran satu video menunjukkan satu mesyuarat rahsia dihadiri ketua kumpulan militan.

Rakaman itu ditemui dalam satu telefon bimbit ketika askar kerajaan mengepung kumpulan militan itu bandar di bandar berkenaan.

Video itu menunjukkan sekumpulan lelaki di dalam bilik berbincang cara untuk menahan tebusan dari sekolah, menutup jalan dan menawan lebuh raya menuju ke Marawi.

“Mereka ada rancangan lebih besar dan ia bertujuan menjadikan keadaan lebih huru hara,” kata jurucakap tentera, Restituto Padilla dalam satu sidang media selepas video itu tersebar.

Pertempuran di Marawi menimbulkan kebimbangan bahawa militan Daish yang semakin tertekan di Syria dan Iraq, kini bertapak di Mindanao serta memberi ancaman kepada negara jiran seperti Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Pegawai berkata, daripada ratusan pemberontak yang menawan Marawi pada 23 Mei lalu, terdapat kira-kira 40 militan asing dari Indonesia dan Malaysia serta dari India, Arab Saudi, Maghribi dan Chechnya.

Serangan di Marawi menunjukkan ramai penyokong Daish mahu menjadikan bandar itu sebagai kerajaan khalifah di Asia Tenggara dan ia dikuatkan lagi dengan kemunculan video berkenaan.

Tentera sebelum ini memberitahu, militan kini berkubu di satu kawasan di tengah bandar dan kemaraan askar mengambil masa lama kerana ratusan orang awam masih terperangkap atau dijadikan tebusan dengan sebahagian dijadikan perisai manusia.

Disiarkan pada: June 8, 2017 @ 7:50am
d