global

Penyerang anggota Daish Iran

Oleh Reuters

Ankara: Iran semalam berkata, kumpulan bersenjata yang menyerang Teheran kelmarin adalah anggota Daish tempatan yang pernah bertempur bersama kumpulan militan itu di Syria serta Iraq.

Penyerang terbabit menyasarkan Parlimen Iran dan makam Ayatollah Khomeini dalam kejadian pagi Rabu di ibu negara Republik Islam itu.

Sementara itu, pihak berkuasa Iran berkata, kematian meningkat kepada 17 orang manakala puluhan cedera.

Pengawal Revolusi yang berpengaruh di Iran turut menuduh Arab Saudi - saingan utama Iran di rantau itu - terbabit dalam keganasan itu, seterusnya menyemarakkan lagi ketegangan antara Riyadh dan Teheran.

Arab Saudi bagaimanapun menyangkal tuduhan berkenaan.

Kementerian perisikan Iran semalam mengesahkan lima penyerang yang ditembak mati dalam kejadian itu adalah rakyat tempatan yang menyertai keganasan Daish di Iraq dan Syria.

“Mereka sebelum ini meninggalkan Iran dan terbabit dalam jenayah dilakukan kumpulan Daish di Raqqa (Syria) dan Mosul (Iraq).

“Tahun lalu mereka kembali ke Iran untuk melakukan keganasan di sini pula,” menurut kenyataan kementerian itu yang disiarkan agensi berita IRNA.

Ini kali pertama Daish mengaku melakukan serangan di Iran.

Iran turut terbabit dalam perang terhadap militan itu di Iraq dan Syria.

Kementerian berkenaan juga berkata, tiga orang ditahan berhubung serangan itu, selepas enam rakyat tempatan termasuk seorang wanita ditahan, kelmarin.

Disiarkan pada: June 9, 2017 @ 8:25am
d