global

13 lagi askar Filipina mati

Oleh Agensi

Marawi: Tiga belas tentera Filipina terbunuh dalam pertempuran terbaru dengan kumpulan militan yang menawan sebahagian bandar di selatan negara itu, kata seorang jurucakap tentera.

Ia peningkatan mendadak dalam jumlah kematian akibat pertempuran di bandar Marawi di pulau Mindanao itu yang kini masuk minggu ketiga.

Tentera Filipina berusaha mengusir ratusan militan yang mengganas dan mengibarkan bendera Daish di bandar itu pada 23 Mei lalu dengan menggunakan terowong kalis bom, senjata antikereta kebal dan perisai manusia untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Pegawai kanan tentera wilayah itu, Leftenan Colonel Jo-ar Herrera berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan jumlah askar yang cedera dalam pertempuran sengit kelmarin.

“Kami kecewa dengan hasil pertempuran. Ada kematian di pihak kerajaan. Tiga belas askar kami terbunuh. Jumlah yang cedera belum diketahui,” katanya di sidang akhbar di Marawi, semalam.

Kematian terbaru itu meningkatkan jumlah askar kerajaan yang terbunuh sejak krisis bermula kepada 58.

Sekurang-kurangnya 138 militan dan 20 orang awam juga mati.

Militan terbabit yang dikatakan terdiri daripada anggota kumpulan Maute setakat ini masih dapat bertahan daripada serangan udara dan darat oleh tentera Filipina, walaupun mereka didakwa hanya menguasai kira-kira 10 peratus kawasan di bandar itu.

Dalam pada itu, jurucakap tentera Herrera juga berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan dua beradik yang mengetuai kumpulan militan Maute dalam keganasan di Marawi itu terbunuh dalam pertempuran.

“Kami masih menanti pengesahan,” kata Herrera.

Herrera juga memberitahu tentera Amerika Syarikat hanya memberi bantuan teknikal kepada tentera negara itu di Marawi.

“Mereka tidak terbabit dalam pertempuran. Mereka hanya memberikan sokongan teknikal,” katanya.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang pegawai kedutaan Amerika Syarikat di Manila yang berkata, tentera negara itu menghulurkan bantuan selepas diminta kerajaan Filipina.

Disiarkan pada: June 11, 2017 @ 12:06am
d