global

Belalang 'tawan' lapangan terbang

Oleh Agensi

Waingapu (Indonesia): Lapangan Terbang Umbu Mehang Kunda di Waingapu di wilayah Nusa Tenggara Timur terpaksa ditutup sementara kelmarin selepas ‘ditawan’ jutaan belalang kembara.

Keadaan itu menyebabkan sebuah pesawat penerbangan NAM AIR dari Kupang terpaksa menangguhkan pendaratan kerana landasan dipenuhi belalang.

Jurucakap lapangan terbang, Lamro P Sihombing berkata, pesawat itu dijadualkan mendarat pada jam 2.45 petang (waktu tempatan) kelmarin tetapi hanya dibenarkan mendarat pada jam 3.15 petang.

“Penangguhan pendaratan pesawat itu terpaksa dibuat selepas landasan dan ruang udara di lapangan terbang ini diserbu terlalu banyak belalang dari pelbagai arah.

“Lapangan terbang terpaksa ditutup selama 30 minit selepas jutaan belalang ini terbang memenuhi ruang udara dan hinggap di landasan,” katanya kepada Detik.com semalam.

Menurutnya, lapangan terbang itu ditutup sebagai langkah keselamatan kerana bimbang kehadiran terlalu banyak belalang di landasan mungkin boleh membahayakan pesawat.

Seorang petugas lapangan terbang, Nelson Butar berkata, kereta peronda diarah berpusing-pusing di landasan bagi menghalau belalang berkenaan.

Disiarkan pada: June 12, 2017 @ 8:08am
d