global

Ribuan serbu pemberian zakat harta RM16

Oleh Agensi

Makassar: Satu majlis pemberian zakat harta oleh seorang ahli perniagaan di sini menjadi kecoh apabila ribuan penduduk menyerbu rumah lelaki itu yang terletak di Jalan Mairo, Barana di Makassar, Sulawesi Selatan.

Media tempatan melaporkan, pemberian zakat harta sudah menjadi amalam ahli perniagaan itu, Ambo Rukka pada setiap Ramadan.

Pada Ahad lalu, Ambo sekali lagi memberi zakat harta di rumahnya bermula pagi hingga waktu berbuka puasa.

Majlis itu mulanya berjalan lancar dengan ribuan penduduk beratur di luar kediaman dan dikawal beberapa anggota polis.

Bagaimanapun, menjelang petang suasana bertukar kecoh apabila penduduk yang tidak sabar cuba merempuh masuk ke dalam kediaman itu.

Keadaan itu menyebabkan beberapa kanak-kanak dan wanita terpaksa diselamatkan polis kerana lemas dan tersepit.

Semua penduduk berkenaan berebut-rebut untuk mendapatkan pemberian zakat yang berjumlah Rp50,000 (RM16) untuk dewasa dan Rp20,000 (RM6.41) bagi kanak-kanak.

Namun, keadaan kembali tenang selepas anggota polis menangkap dan mengusir penduduk yang mencetuskan kekecohan.

Disiarkan pada: June 14, 2017 @ 8:14am
d