global

Dah lama bimbang

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

PENGHUNI rumah Grenfell Tower di barat London sudah berulang kali menyatakan kebimbangan berhubung keselamatan kebakaran kediaman itu sejak beberapa tahun lalu.

Memetik laporan portal berita CNN, beberapa persoalan turut dibangkitkan mengenai pengubahsuaian bangunan setinggi 24 tingkat itu baru-baru ini, termasuk penggantian pelapisan pada bahagian luar bangunan itu, walaupun kontraktor utama berkata semua peraturan-peraturan bangunan dan keselamatan telah dipenuhi.

Dibina pada 1974, menara blok kediaman itu baru-baru terbabit dengan kerja pengubahsuaian bernilai AS$13.2 juta (RM56.2 juta) oleh pemaju swasta Rydon dan siap pada musim panas tahun lalu.

Menurut laman web pihak berkuasa tempatan, kerja pengubahsuaian besar-besaran termasuk pemasangan "pelapisan luaran terlindung, tingkap berlapis baru dan sistem pemanasan bertujuan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.”

Apa yang pasti, pembangunan semula bangunan itu turut membabitkan peruntukan bagi penambahbaikan kepada keselamatan kebakaran dan pengudaraan.

Bagaimanapun, dalam status blog bertarikh 20 November 2016, sekumpulan penduduk, Kumpulan Tindakan Grenfell (GAC), menekankan kebimbangan yang berterusan terhadap keselamatan bangunan itu, yang diuruskan oleh Kensington dan Chelsea Tenant Management Organization (KCTMO).

Status yang dimuat naik dalam blog berkenaan selepas selesai kerja-kerja pengubahsuaian itu menyebut: "penduduk akan terdedah kepada kemusnahan besar akibat ketidakcekapan tuan tanah kitadan membawa satu pengakhiran kepada keadaan hidup berbahaya, pengabaian undang-undang kesihatan dan keselamatan"

Dalam satu kenyataan pada Rabu, syarikat pengurusan mengakui kebimbangan penduduk namun memberitahu: "Adalah terlalu awal untuk membuat spekulasi punca kebakaran sehingga menyebabkan merebak. Kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca tragedi ini."

"Kita sedar bahawa kebimbangan telah lama dibangkitkan penduduk dan kami mengambil serius semua pandangan ini yang akan menjadi sebahagian daripada siasatan kami akan datang."

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 2:06pm
d