global

'Pembalut' bangunan punca api pantas

Oleh Agensi

PAKAR kini menumpukan kepada lapisan luar bangunan Menara Grenfell yang dipasang tahun lalu, sebagai punca api merebak pantas dari tingkat dua hingga ke bumbung bangunan dalam masa tidak sampai 20 minit.

Polis mengesahkan 12 terbunuh dalam kebakaran itu manakala puluhan lagi masih hilang dan 77 cedera dengan 18 kritikal.

Lapisan luar itu dipasang ketika ubah suai menara berkenaan sebagai lapisan kali air dan mencantikkan bangunan.

Menurut Daily Mail, Menara Grenfell ‘dibalut’ tahun lalu, ketika proses ubah suai dengan kos £8.6 juta oleh syarikat dari East Sussex, Rydon, yang menegaskan pemasangan itu mematuhi semua peraturan kawalan bangunan.

Namun, laman web syarikat itu menyatakan bahan yang digunakan, Celotex RS5000, 'akan terbakar jika terkena api atau kepanasan melampau... dan membebaskan gas toksik’.

Ia diperbuat daripada gabungan panel logam dan bahan seperti polisterin yang dipisahkan ruang kecil kira-kira 25 milimeter daripada dinding konkrit luar bangunan.

Namun, lapisan itu dipercayai punca tragedi menyebabkan api merebak ke seluruh bangunan dengan pantas,

Kaedah itu masih digunakan walaupun selepas kebakaran pada bangunan Lakanal House setinggi 14 tingkat di Camberwell, London, pada 2009 yang membunuh enam orang.

Pakar keselamatan kebakaran yang membantu mengumpul bukti selepas kejadian itu, Sam Webb, berkata bahan yang digunakan untuk lapisan luar tidak kalis api dan ada yang mudah terbakar.

Menurutnya, kebakaran membabitkan lapisan luar itu pernah berlaku di Australia, Russia dan negara Arab, termasuk dua di Dubai iaitu The Address Downtown setinggi 63 tingkat pada 2015 dan Menara Sulafa setinggi 75 tingkat, Julai tahun lalu.

Disiarkan pada: June 15, 2017 @ 4:17pm
d