global

Tiga maut serang polis Israel

Oleh AFP

Baitulmaqdis: Tiga lelaki maut ditembak selepas menikam mati seorang polis wanita Israel di luar kota lama Baitulmaqdis dalam kejadian yang diakui dilakukan Daish.

Dalam satu kenyataan, Daish mendakwa anggota mereka menyasarkan ‘perhimpunan Yahudi’ selain memberi amaran ia bukan yang terakhir. Ini kali pertama Daish mengaku bertanggungjawab bagi serangan terhadap orang Yahudi di Baitulmaqdis.

Bagaimanapun, dakwaan itu ditolak Hamas yang dalam satu kenyataan berkata, ahlinya sendiri yang melancarkan serangan berkenaan.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, dakwaan Daish itu sekadar usaha untuk mengelirukan keadaan.

“Serangan itu untuk membalas jenayah penjajah Israel,” katanya menggunakan huraian yang lazim dipakai Hamas apabila menggambarkan serangan terhadap rejim Zionis.

Kejadian berlaku ketika solat tarawih diadakan di Masjid Al-Aqsa, lewat Jumaat (waktu tempatan).

Menurut polis, dua lelaki melepaskan tembakan terhadap anggota keselamatan yang membalas tembakan. Manakala seorang lagi penyerang menikam polis wanita terbabit sebelum dia ditembak mati.

Jurucakap polis Micky Rosenfeld berkata dalam satu kenyataan, ketiga-tiga penyerang terbabit ditembak mati manakala polis wanita itu, Hadas Malka, 23, turut maut.

Agensi keselamatan dalam negeri Israel, Shin Bet mengenal pasti tiga penyerang berkenaan sebagai penduduk Ramallah yang pernah aktif dalam aktiviti anti-Israel sebelum ini.

Ia turut menolak dakwaan Daish bahawa anggotanya yang melancarkan serangan.

Disiarkan pada: June 18, 2017 @ 2:26am
d