global

62 mati terbakar

Oleh Agensi

Penela: Kebakaran hutan di tengah Portugal menyebabkan sekurang-kurangnya 62 orang terbunuh, kebanyakannya rentung di dalam kereta masing-masing.

Kejadian itu juga menyebabkan puluhan orang cedera, kata kerajaan semalam.

Hampir 600 bomba dengan 160 kenderaan dikerah lewat kelmarin untuk memadamkan kebakaran itu yang berlaku beberapa jam sebelum itu di daerah Pedrogao Grande, kira-kira 50 kilometer dari Coimbra sebelum ia merebak ke beberapa kawasan lain.

“Ini kebakaran hutan paling teruk pernah kita lihat sejak beberapa tahun kebelakangan. Jumlah kematian munkin meningkat. Keutamaan sekarang ialah menyelamatkan mereka yang masih berdepan dengan bahaya,” kata Perdana Menteri, Antonio Costa.

Cuaca begitu panas di negara itu kelmarin dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Kira-kira 60 kebakaran hutan berlaku di seluruh negara itu pada sebelah malam dengan kira-kira 1,700 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkannya.

Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Jorge Gomes berkata, 62 orang mati terbakar, kebanyakannya selepas terperangkap dalam kereta mereka yang terbakar di wilayah Leiria. Sekurang-kurangnya 59 lagi cedera.

“Kebakaran merebak dengan cepat dan ‘ganas’. Sukar untuk menentukan sama ada mangsa cuba melarikan diri dari kebakaran atau mereka terperangkap secara mengejut,” katanya.

Costa berkata, petir musim kering mungkin menjadi punca kebakaran itu.

Beberapa kampung turut terjejas akibat kebakaran utama itu dan usaha memindahkan penduduk sudahpun dilakukan, menurut perdana menteri itu.

Disiarkan pada: June 19, 2017 @ 8:54am
d