global

Iran balas dendam

Oleh AFP

Teheran: Iran menyasarkan kumpulan militan di Syria dengan peluru berpandu bagi membalas serangan berdarah di Teheran yang secara tidak langsung juga menjadi pesanan untuk saingannya di rantau itu serta Washington, kata pakar.

Lewat kelmarin, Pengawal Revolusi Iran melancarkan enam peluru berpandu dari barat Iran ke wilayah Deir Ezzor di Syria, menyasarkan pangkalan Daish.

Operasi itu dilaporkan sebagai membalas dendam terhadap serangan berkembar di Teheran pada 7 Jun lalu yang menyebabkan 17 orang maut - pertama kali dilakukan oleh Daish di Iran, kata jurucakap Pengawal Revolusi.

Selain menghukum ‘pengganas’ ia turut bertujuan menunjukkan Iran mampu melancarkan kuasa tenteranya di rantau berkenaan, kata pegawai dan pakar.

Teheran menyumbang wang dan tentera untuk menyokong rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam perang saudara selama enam tahun negara itu.

Ribuan rekrut juga dikerahkan untuk menyertai pertempuran di Syria serta melawan Daish di Iraq, kata pegawai.

Tetapi serangan Ahad lalu ialah yang pertama kali peluru berpandu dilepaskan dari Iran ke wilayah asing sejak perang Iran-Iraq pada 1980 hingga 1988.

Jurucakap Pengawal Revolusi, Jeneral Ramezan Sharif berkata: “Serangan peluru berpandu hanya sedikit daripada hukuman yang mampu dilaksanakan Iran terhadap pengganas dan musuh.

“Penyokong pengganas di rantau ini dan peringkat antarabangsa mesti memahami amaran di sebalik operasi peluru berpandu itu.”

Iran sudah sekian lama menuduh Amerika Syarikat (AS), Israel dan Arab Saudi menyokong ‘pengganas’ - gelaran untuk sesiapa saja yang menentang rejim Bashar.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump menuduh Iran menyokong keganasan, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Teheran.

Trump juga mengancam membatalkan perjanjian nuklear yang dimeterai pada 2015 antara Teheran dengan kuasa besar dunia.

Peluru berpandu buatan Iran itu mampu mengenai sasaran sejauh 2,000 kilometer dan menjadi pertikaian utama Washington serta Israel.

Disiarkan pada: June 20, 2017 @ 8:37am
d