global

Serang guna kereta rempuh polis

Paris: Seorang lelaki berusia 31 tahun yang tersenarai dalam pemerhatian pihak berkuasa maut selepas keretanya yang diisi senjata dan botol gas merempuh sebuah van polis di kawasan beli-belah Champs-Elysees, semalam.

Penyerang berkenaan dikenal pasti sebagai Adam Dzaziri maut tetapi tiada orang lain cedera. Sehingga semalam, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu.

Lelaki terbabit dilaporkan tersenarai dalam pemerhatian polis sejak 2015 kerana mempunyai kaitan dengan pergerakan radikal. Dia bagaimanapun tiada rekod jenayah.

Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb berkata, kereta dipandu Adam merempuh barisan kenderaan polis yang sedang melalui Champs-Elysees.

Jurucakap kementerian, Pierre-Henry Brandet berkata, kereta Adam kemudian terbakar.

Rakaman video menunjukkan asap tebal dan api marak dari kereta itu selepas rempuhan. Polis kemudian menemui raifal Kalashnikov, pistol, peluru dan botol gas di dalam kereta itu.

Saksi yang hanya dikenali sebagai Alexandre, 51, berkata: “Orang ramai menjerit dan bertempiaran melarikan diri. Mereka menyuruh saya lari.”

Polis pada mulanya menutup dua stesen kereta api Metro di situ, tetapi dua jam kemudian keadaan kembali normal dengan pelancong dilihat mengambil swafoto dan membeli-belah. - AFP

Disiarkan pada: June 21, 2017 @ 6:59am
d