global

Ular 'perencah' mi siput

Beijing: Sebuah restoran di wilayah berautonomi Guangxi Zhuang, selatan China, diarah ditutup selepas pelanggannya menemui ular di dalam mi goreng yang dibeli untuk dibawa pulang ke rumah, lapor media semalam.

Wanita itu yang juga pelajar Universiti Guangxi, dikenali sebagai Wang berkata, dia membeli satu hidangan mi goreng siput untuk makan tengah hari di bilik asramanya pada Jumaat lalu, lapor News.qq.com.

Bagaimanapun, selepas beberapa suap dia ternampak seekor ular kecil melingkar di atas sayur-sayuran di dalam mangkuknya.

“Saya terus hilang selera. Selepas mengambil beberapa gambar reptilia itu saya terus membuang sisa mi berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak membuat aduan rasmi kepada restoran berkenaan, tetapi mengongsikan imej itu di akaun WeChat miliknya.

Gambar itu menjadi tular dan menarik perhatian pihak berkuasa makanan tempatan yang terus melancarkan siasatan.

Pemeriksaan di restoran itu mendapati premisnya amat kotor dan pemiliknya tidak dapat menunjukkan resit pembekalnya.

Sementara itu, pemilik restoran berkenaan menafikan hidangan dibeli Wang dari restorannya kerana tiada pelanggan lain membuat aduan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengarahkan restoran itu ditutup untuk dibersihkan sepenuhnya.

Pemilik berkenaan bagaimanapun tidak didakwa kerana tiada bukti mengaitkannya dengan ular berkenaan. - Agensi

Disiarkan pada: June 21, 2017 @ 7:02am
d