global

Putera Mahkota 'Mr Everything'

Oleh Agensi

MOHAMMED bin Salman yang dilantik sebagai putera mahkota Arab Saudi oleh Raja Salman menggantikan anak saudaranya, Putera Mohammed bin Nayef dianggap pemerhati sebagai ‘Mr Everything’ kerana pada usia 31 tahun beliau sudah memegang kuasa luar biasa.

Dilahirkan pada 31 Ogos 1985, anak Raja Salman itu memainkan peranan utama Wawasan 2030 dalam usaha membawa perubahan sosial dan ekonomi Arab Saudi yang ekonominya bergantung kepada minyak.

Menurut pengisytiharan diraja, anak saudara Raja Salman, Putera Mohammed Bin Nayef, ketua anti-keganasan yang dihormati Washington kerana memerangi kempen mengekang al-Qaeda pada 2003-2006, digantikan sepupunya, Mohammed bin Salman.

Putera Mahkota baru itu akan turut memegang jawatan timbalan perdana menteri dan mengekalkan jawatannya sebagai menteri pertahanan, minyak dan beberapa portfolio lain.

Mohammed bin Salman, lulusan undang-undang dari Universiti Raja Saud di Riyahd ialah bapa dua anak lelaki serta dua perempuan dan tidak seperti kerabat diraja Saudi lain, hanya mempunyai seorang isteri.

AFP melaporkan, siaran televisyen menunjukkan Mohammed bin Salma mencium tangan bekas putra mahkota yang juga sepupunya sebelum berlutut di depan Mohammed bin Nayef yang menepuk bahu mengucapkan tahniah kepadanya.

“Saya akan berehat sekarang. Moga Allah bersama kamu,” kata bekas putera mahkota itu yang disambut penggantinya: “Semoga Allah bersama kamu. Saya tidak akan berjaya tanpa nasihat kamu.”

Disiarkan pada: June 21, 2017 @ 9:02pm
d