global

Pengebom Brussels warga Maghribi

Brussels: Lelaki yang ditembak mati di Stesen Sentral Brussels kelmarin selepas gagal meletupkan bom paku dalam sebuah beg dikenal pasti warga Maghribi berusia 36 tahun yang tidak pernah disyaki pengganas.

Bercakap pada sidang akhbar, pendakwa raya Belgium, Eric Van Der Sypt hanya menamakan lelaki itu sebagai OZ dan kediamannya di daerah Molenbeek diserbu dan diselongkar.

Menurutnya, penyerang tidak memakai tali pinggang bom dan dia melaungkan takbir sebelum ditembak tentera yang meronda di stesen berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkannya, pejabat pendakwa raya , lelaki itu dikatakan memasuki Stesen Sentral Brussels jam 8.39 malam (waktu tempatan) Selasa lalu dan menyelit di celah orang ramai di bahagian bawah tanah stesen berkenaan.

Lima minit kemudian, dia mengambil begnya dan menjerit sebelum meletupkan beg itu. Walaupun tidak mencederakan sesiapa, letupan itu menyebabkan beg itu terbakar.

Lelaki itu kemudian meninggalkan beg berkenaan dan berlari ke platform. Ketika itu, beg yang ditinggalkannya yang mengandungi paku dan botol gas meletup kali kedua, kali ini lebih kuat, walaupun tidak meletup sepenuhnya.

Dia kemudian kembali ke kawasan itu dan berlari ke arah seorang askar yang meronda stesen berkenaan sambil melaungkan Allahu Akbar.

Askar terbabit melepaskan tembakan, mengenanya beberapa kali, menyebabkan dia mati di tempat kejadian. - AFP

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 6:13am
d