global

Kota Lama Mosul dikepung

Oleh Agensi

Mosul: Tentera Iraq dengan sokongan Amerika Syarikat semalam mula mara ke arah masjid di Kota Lama Mosul, tempat pemimpin Daish, Abu Bakar al-Baghdadi megisytiharkan negara khalifahnya tiga tahun lalu.

Pegawai berkata, pasukan keselamatan Iraq berjaya mengepung kubu kuat Daish di Kota Lama itu, tempat masjid berkenaan terletak, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan tentera Iraq, anggotanya kini hanya berada antara 200 dan 300 meter dari Masjid Al-Nuri itu.

Pakatan tentera yang diketuai Amerika Syarikat memberi bantuan udara dan darat dalam kempen menawan semula Mosul sejak ia dilancarkan 17 Oktober lalu.

Pegawai Iraq berharap dapat menawan semula masjid itu sebelum Aidilfitri yang akan disambut di Iraq pada Sabtu atau Ahad ini.

Usaha menawan Kota Lama itu menyaksikan pertempuran sengit sejak lapan bulan lalu.

Lebih 100,000 orang awam, separuh daripadanya kanak-kanak dipercayai terperangkap di kota itu dengan makanan, minuman dan ubat-ubatan yang amat terhad.

Tentera Iraq menganggarkan tidak lebih 300 anggota Daish masih berada di Kota Lama itu, jauh berkurangan daripada hampir 6,000 ketika pertempuran bermula 17 Oktober tahun lalu.

Kejatuhan Mosul akan menandakan berakhirnya kerajaan khalifah Daish walaupun kumpulan itu masih menguasai barat dan selatan bandar berkenaaan.

Daish juga menjadi sasaran serangan di Syria, khususnya daripada pakatan yang diketuai militan Kurdis yang juga mendapat sokongan Amerika Syarikat.

Ibu negeri mereka di Raqqa, kini terkepung.

Kira-kira 850,000 penduduk, lebih sepertiga daripada populasi Mosul sebelum perang, melarikan diri, mencari perlindungan di kem pelarian sementara atau menumpang dengan keluarga masing-masing.

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 6:14am
d