global

Raja Thailand ditembak peluru pistol angin mainan

Berlin: Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn menjadi sasaran dua budak nakal yang menembaknya menggunakan pistol pelet getah ketika dia berbasikal di Bavaria, selatan Jerman, kata pendakwa raya semalam.

“Saya mengesahkan pada 10 Jun lalu, kira-kira jam 11 malam (waktu tempatan) dua budak lelaki menembak pelet getah menggunakan pistol angin mainan terhadap sekumpulan penunggang basikal termasuk Raja Thailand.

“Dua budak lelaki itu berusia 13 dan 14 tahun,” kata jurucakap pendakwa raya bandar Landshut, Thomas Steinkraus-Koch.

Bagaimanapun, dia tidak dapat mengesahkan sama ada Vajiralongkorn terkena peluru pelet yang ditembak remaja berkenaan.

Tambahnya, pembantu Vajiralongkorn sudah memaklumkan kepada pendakwa raya bahawa dia tidak berhasrat mengenakan dakwaan terhadap remaja itu.

Vajiralongkorn menaiki takhta selepas kematian bapanya, Raja Bhumibol Adulyadej yang meninggal dunia pada Oktober lalu.

Walaupun ditabalkan sebagai raja Thailand yang baru, Vajiralongkorn lebih banyak menghabiskan masa di Jerman tempat dia memiliki beberapa hartanah di Bavaria. - AFP

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 6:23am
d