global

Daesh letupkan masjid, menara ikonik berusia 840 tahun

Militan Daesh memusnahkan masjid Al Nuri Mosul dan menara condong ikoniknya berusia 840 tahun yang terkenal sebagai Al Hadba pada malam Rabu (waktu tempatan) dengan meletupkan bahan letupan yang diletakkan di dalam struktur bangunan berkenaan, menurut Kementerian Pertahanan Iraq.

Masjid dimusnahkan itu juga dikenali sebagai Masjid Besar Mosul - adalah lokasi yang sama pemimpin Daesh Abu Bakr Al Baghdadi mengisytiharkan dirinya sebagai ‘khalifah’ pada 2014 - sejurus bandar itu ditakluki militan pada tahun itu 2014 dan dilihat sebagai simbolik hadiah utama dalam perjuangan mereka di bandar kedua terbesar Iraq.

Dalam kenyataan balas Daesh yang disiarkan di atas talian selepas kenyataan Kementerian Pertahanan Iraq itu, militan berkenaan mendakwa serangan udara oleh Amerika Syarikat yang memusnahkan masjid dan menara itu.

Sebelum ini pada Julai 2014, militan itu cuba memusnahkan menara berkenaan kerana mendakwa struktur itu bertentangan dengan tafsiran fundamentalis Islam yang mereka anuti, tetapi dibantah penduduk Mosul berkumpul di kawasan berkenaan membentuk rantai manusia untuk melindunginya.

Daesh menghancurkan berpuluh-puluh tapak bersejarah dan arkeologi di dalam dan di sekitar Mosul atas dakwaan ia mempromosikan penyembahan berhala.

Masjid Besar Mosul terletak di pinggir selatan Kota Lama, kubu kuat Daesh yang terakhir di dalam Mosul. Tentera Iraq sudah melancarkan serangan secara perlahan-lahan ke atas kawasan itu minggu ini ketika sekumpulan pejuang Daesh yang terakhir disokong kira-kira 100,000 orang awam mempertahankannya, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Awal bulan ini penduduk Mosul melaporkan Daesh mula menutup kawasan sekitar masjid selain militan itu memerintahkan keluarga yang tinggal di kawasan itu untuk berpindah.

Lebih lapan bulan lalu, pihak berkuasa Iraq berjuang untuk menawan semula Kota Lama Mosul dan menjejaskan lebih 850,000 penduduk tempatan.

Walaupun sudah banyak kemenangan dicapai tentera Iraq namun pertempuran turut mengorbankan pihak pasukan tentera Iraq dan orang awam. - Agensi

Tamat

Disiarkan pada: June 22, 2017 @ 4:30pm
d