global

Paut belakang van 'tutup' nombor pendaftaran

Beijing: Seorang pemandu van berdepan denda kerana mengundurkan kenderaannya di sebuah lebuh raya di China apabila berjaya dikenal pasti walaupun dia dan kelindannya berusaha menyembunyikan identiti mereka daripada kamera keselamatan.

Rakaman kejadian yang dilaporkan berlaku Isnin lalu diambil polis trafik wilayah Hubei sebelum disebarkan di Internet.

Dua rakan itu gigih mahu memastikan nombor pendaftaran kenderaan tidak dikesan kamera keselamatan, malah sanggup melakukan tindakan berbahaya dan menyalahi undang-undang.

Dalam rakaman itu, dua lelaki berkenaan dilihat keluar dari van dengan nombor pendaftaran Hubei yang berhenti di bahu jalan Lebuh Raya Beijing-Hong Kong-Macau selepas terlepas simpang keluar ke lebuh raya lain.

Mereka dilihat berbincang apa yang patut dilakukan seterusnya sebelum pemandu berkenaan ternampak kamera keselamatan dan memberi isyarat kepada rakannya supaya berdiri di atas tempat pijak di belakang van berkenaan bagi menghalang nombor pendaftarannya turut dirakam.

Rakannya itu terus mengikut arahan, manakala pemandu terbabit masuk semula ke dalam van dan mengundurkan kenderaannya merentasi penghadang jalan.

Sepanjang tempoh itu, rakannya berpaut pada pintu belakang van tetapi malangnya masih gagal menutup nombor pendaftaran daripada kamera.

Pada masa sama, lori besar dan kenderaan lain dipandu laju di kiri dan kanan van berkenaan.

Polis Hubei tidak mengenal pasti identiti pemandu berkenaan, tetapi dia berdepan hukuman denda sehingga 400 yuan (RM252) dan markah dipotong dari lesennya.

Kejadian berkenaan mendapat pelbagai ulasan orang ramai termasuk ramai menganggap perbuatan mereka yang berbahaya dan menyalahi undang-undang itu mesti dihukum.

Seorang pengguna Internet bagaimanapun berkata: “Lihatlah IQ mereka yang terlalu tinggi!” - Agensi

Disiarkan pada: June 23, 2017 @ 6:24am
d