global

Letup orang ramai lari dari Mosul

Mosul: Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya dalam kalangan orang awam yang melarikan diri dari Kota Lama Mosul, di mana tentera Iraq semakin berjaya mengusir anggota Daish.

Pegawai tentera, Ahmed Hashem berkata, serangan berlaku di sebuah kejiranan di Kota Lama.

“Kami menerima 12 mayat dan lebih 20 mangsa cedera di hospital lapangan kami termasuk wanita serta kanak-kanak,” katanya.

Seorang kolonel tentera berkata, sukar mendapat jumlah mangsa sebenar kerana kawasan di mana serangan dilancarkan masih belum dibersihkan.

“Pengebom berkenaan menyelinap masuk ke kumpulan orang ramai yang melarikan diri dan meletupkan dirinya sebelum sampai ke lokasi askar kami,” katanya.

Ribuan orang awam melarikan diri dari Kota Lama Mosul sejak tentera Iraq melancarkan serangan terbesarnya terhadap Daish.

Kira-kira 100,000 lagi masih terperangkap di situ oleh Daish yang menggunakan perisai manusia sebagai elemen penting dalam pertahanan mereka.

Pasukan keselamatan sememangnya memantau usaha anggota Daish melarikan diri dari Kota Lama dengan menyelinap dalam kalangan orang awam, sementara pejuang asing dari Chechnya, Perancis dan negara lain kekal menamatkan pertempuran di Mosul. - AFP

Disiarkan pada: June 24, 2017 @ 7:28am
d