global

Hospital dipenuhi mangsa melecur

Oleh Agensi

Lahore: Hospital di Pakistan semalam bergelut untuk merawat mangsa yang melecur teruk selepas letupan sebuah lori tangki minyak yang meragut sekurang-kurangnya 146 nyawa.

Lebih 118 orang cedera dalam kejadian di Bahawalpur, Punjab, wilayah di timur negara itu, kelmarin.

Ia berlaku ketika orang ramai berebut untuk mengambil minyak dari lori tangki yang terbalik.

Bencana berkenaan antara kejadian yang meragut nyawa ketika rakyat negara itu bersiap sedia menyambut Aidilfitri semalam.

Sekurang-kurangnya 65 terbunuh dalam pengeboman di dua bandar Jumaat lalu. Dua kumpulan militan - Taliban Pakistan dan Lashkar-e-Jhangvi - mendakwa bertanggungjawb terhadap serangan itu.

Dalam kejadian Ahad lalu, tayar lori tangki minyak berkenaan meletup ketika ia meluncur laju di satu selekoh di lebuh raya di pinggir bandar Bahawalpur, kata jurucakap kerajaan tempatan, Malik Muhammed Ahmed Khan.

Tidak pasti apa yang menyebabkan letupan. Bagaimanapun, seorang jurucakap pasukan penyelamat berkata, ia berpunca daripada perbuatan seorang lelaki menyalakan api untuk menghisap rokok berhampiran lori yang terbalik itu.

“Merawat dan kerja memulihkan mangsa menjadi keutamaan kami,” kata Malik.

Pihak hospital juga berusaha mengatur ujian DNA bagi proses pengecaman mayat yang rentung sehingga sukar dikenali.

Antara yang terbunuh ialah 20 kanak-kanak.

Sebahagian besar mangsa yang melecur dipindahkan ke hospital di Karachi dan Lahore.

Hospital kerajaan selalunya tidak lengkap dan hospital di Bahawalpur dan Multan yang terletak berhampiran, didirikan hanya untuk jumlah pesakit yang kecil.

Pemandu lori tangki yang terselamat ditahan bagi membantu siasatan walaupun laporan awal menyatakan kejadian itu bukan berpunca daripada kesilapan manusia.

Malik juga berkata, siasatan berasingan juga dilakukan untuk mengetahui kenapa polis tidak menyuraikan orang ramai yang berebut-rebut untuk mengambil minyak yang tumpah.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 8:34am
d