global

Sindiket bantu 4 banduan lari dari penjara

Oleh DM

Bali: Polis Indonesia berkata, mereka percaya empat banduan yang melarikan diri dari penjara di sini dibantu sindiket jenayah antarabangsa.

Keempat-empat banduan berkenaan, rakyat Australia, Shaun Davidson, warga Bulgaria, Dimitar Nikolov Iliev, rakyat India, Sayed Mohammed Said dan warga Malaysia, Tee King Kok melarikan diri menerusi lubang seluas 50 sentimeter kali 75 sentimeter yang digali di bawah tembok penjara dan bersambung dengan terowong berlumpur di luar penjara itu.

Dua daripada mereka, Iliev dan Sayed Mohammed Said ditangkap di sebuah resort mewah di Novo Turismo di Dili, Timor Leste, kira-kira 2,000 kilometer dari Bali.

Davidson dan Tee masih bebas.

Ketua Polis Bali, Petrus Golose berkata, siasatan masih diteruskan mengenai siapa yang membantu kumpulan itu melarikan diri.

“Kami ingin tahu sama ada wujud sindiket membawa mereka keluar dari Bali,” katanya.

Petrus bagaimanapun yakin Davidson tidak mungkin berada di Eropah seperti yang didakwanya dalam laman Facebooknya.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 8:37am
d