global

Kazakhstan menuju era baru

Oleh Nurul Husna Mahmud

Kazakhstan kini memasuki era baru sejarahnya apabila Presiden Nursultan Nazarbayev melahirkan wawasan mengenai permodenan identiti dan masyarakat negara itu.

“Pembaharuan besar-besaran ekonomi dan politik yang dilaksanakan akan dilengkap dengan permodenan identiti kita. Bukan setakat ia menjadi pelengkap kepada permodenan politik dan ekonomi, malah ia juga mengukuhkan usaha permodenan itu,” kata Nursultan dalam artikel mengenai wawasannya itu.

Artikel berjudul Course towards the Future: Modernization of Kazakhstan’s identity (Hala tuju ke arah masa depan: Permodenan identiti Kazakhstan) itu diterbitkan April lalu.

Ia menyusul pengumumannya pada Januari mengenai Third Modernization of Kazakhstan (Permodenan Ketiga Kazakstan) yang membabitkan usaha mewujudkan model baru pertumbuhan ekonomi yang akan memastikan persaingan negara itu di peringkat global.

Permodenan berkenaan termasuk lima perkara utama yang dirancang untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang berkesinambungan bagi membantu Kazakhstan menyertai 30 negara paling membangun menjelang 2050.

Pada masa sama, Nursultan juga menggariskan langkah bagi mengukuhkan kuasa Parlimen.

Menurutnya, pembaharuan perlembagaan itu yang sudahpun dilaksanakan Mac lalu bertujuan meningkatkan pembangunan demokratik di Kazakhstan dengan kerajaan akan lebih bertanggungjawab kepada Parlimen.

Menerusi artikel yang diterbitkan pada April itu pula, Nursultan antara lain menjelaskan impian besarnya dengan menetapkan tempoh peralihan Bahasa Kazakhstan kepada penggunaan huruf Roman menjelang 2025.

Ia antara langkah penting yang dilakukan Kazakhstan bagi menghadapi persaingan global.

Perdagangan antarabangsa dan pasaran kewangan dunia dilakukan menggunakan huruf Roman.

Tidak sukar untuk memahami mengapa Kazakhstan bersungguh-sungguh mahu memajukan dirinya dalam perdagangan global serta meningkatkan reputasinya sebagai tempat pelaburan terbaik dan mencari jalan bagi memastikan kemodenan serta daya saingnya,

Langkah beralih kepada huruf Roman juga akan memudahkan Nursultan untuk menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris di negara itu, khususnya dalam kalangan generasi muda bagi menjamin mereka boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

Kemahiran menggunakan bahasa itu di Kazakhstan berkembang pantas.

Bancian terbaru menunjukkan 1.9 juta rakyat negara itu memahami bahasa Inggeris dengan separuh daripada mereka menggunakannya untuk berbual.

Ia permulaan baik. Namun, bagi meningkatkan persaingan Kazakhstan dalam pasaran global, jumlah itu perlu ditambah.

Bagi golongan pedagang dan pelabur, langkah itu amat dialu-alukan, baik di Kazakhstan mahupun di luar negara.

Beralih kepada huruf Roman sudah pasti akan membawa lebih banyak kerjasama antara negara itu dengan negara lain.

Keutamaan lain, termasuk menterjemahkan 100 buku teks terbaik dunia mengenai kemanusiaan ke Bahasa Kazakhstan, mempromosi kawasan ‘spiritual’ Kazakhstan baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa serta mempromosi budaya moden negara itu secara global.

Projek lain, termasuk menggalakkan kejiranan dan identiti tempatan yang kuat sebagai sebahagian usaha mengukuhkan perpaduan di peringkat kebangsaan dan mengiktiraf individu yang menyumbang kepada pencapaian Kazakhstan sepanjang 25 tahun lalu.

Projek ‘100 Muka Baru Kazakhstan’ akan menceritakan kehidupan 100 individu dari wilayah berbeza, berlainan kumpulan usia dan etnik yang setiap mereka sudah berjaya sepanjang 25 tahun lalu.

Menerusi projek itu Nursultan mahu setiap orang menyaksikan kehidupan dan cerita di sebalik individu yang menyumbang kepada kemajuan Kazakhstan.

Menerusi artikelnya itu, presiden itu juga berkata, pemodenan yang dirancang akan memastikan rakyat negara itu celik komputer, mahir berbahasa asing dan bersikap terbuka.

Disiarkan pada: June 27, 2017 @ 8:44am
d