global

Trump tidak popular di seluruh dunia

Oleh AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan dasarnya didapati tidak popular di seluruh dunia, kecuali di Russia dan Israel, menurut kaji selidik yang hasilnya diumumkan semalam.

Kaji selidik oleh Pusat Kajian Pew membabitkan penduduk di 37 negara menunjukkan penurunan mendadak dalam kepercayaan purata terhadap pemimpin Amerika berkait dengan hal ehwal antarabangsa.

Hanya 24 peratus responden berkata, mereka mempercayai Trump akan memimpin peranan Amerika di peringkat antarabangsa, berbanding 64 peratus yang yakin pada presiden sebelumnya, Barack Obama.

“Pada mata kebanyakan responden di seluruh dunia, penghuni baru Rumah Putih itu sombong, tidak bertolak ansur dan juga berbahaya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama dengan hasil kajian yang dilakukan antara 16 Februari dan 8 Mei itu.

Minggu lalu, kaji selidik yang dilakukan di peringkat kebangsaan oleh CBS mendapati, populariti Trump jatuh kepada 36 peratus, paras paling rendah sejak dia menjadi presiden Januari lalu.

Tanggapan positif terhadap Amerika Syarikat di kebanyakan negara juga merosot, khususnya dalam kalangan rakyat negara sekutu Amerika Syarikat di Eropah dan Asia serta di Kanada dan Mexico.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 8:02am
d