global

Rizieq Shihab beraya di Hadramaut

Oleh Agensi

Jakarta: Ketua Barisan Pembela Islam (FPI), Rizieq Shihab yang dinamakan suspek dalam kes perbualan lucah dilapor merayakan Aidilfitri bersama keluarganya di Kota Tarim di Hadramaut, Yaman.

Perkara itu dinyatakan peguamnya, Kapitra Ampera.

Menurut Kapitra, Rizieq memilih kota berkenaan kerana ingin menemui gurunya di sana.

“Habib (Rizieq Shihab) berhari raya di Tarim. Dia disambut dengan baik di sana,” kata Kapitra kepada CNNIndonesia.com, semalam.

Kota Tarim terkenal kerana banyak melahirkan ulama dan juga digelar Kota Seribu Wali.

Kapitra juga berkata, alasan lain yang menyebabkan Rizieq memilih berhari raya di situ ialah kerana menantunya juga menetap di sana.

“Dia tidak mempunyai agenda khusus di sana. Dia mahu menemui gurunya, Habib Omar. Dia akan kembali semula ke Arab Saudi dalam masa terdekat,” kata Kapitra.

Rizieq dinamakan suspek dalam dua kes berasingan. Pertama, dia dikehendaki kerana menghina Pancasila. Kes itu ditangani polis Jawa Barat.

Kedua, dia terbabit dalam kes perbualan pornografi bersama aktivis politik, Firza Husein.

Dia berlepas ke Arab Saudi bersama keluarganya untuk menunaikan umrah dua minggu sebelum dinamakan suspek dalam kes kedua.

Semengtara itu, Rizieq dikatakan megemukakan beberapa syarat kepada kerajaan Indonesia yang menghendaki dia pulang untuk disoal siasat, kata seorang lagi peguamnya, Sugito Atmaporawiro.

Antara syaratnya, jaminan tidak akan ditangkap ketika tiba di Indonesia dan memberikan dia waktu untuk berehat sebelum disoal siasat.

Disiarkan pada: June 28, 2017 @ 8:12am
d