global

10 cedera kawah gunung berapi meletus

Jakarta: Seramai 10 pelancong cedera semalam selepas sebuah kawah gunung berapi di Dieng di Banjarnegara, Jawa Tengah meletus dengan menghamburkan wap panas, debu dan lumpur.

Pihak berkuasa berkata, Kawah Sileri yang menjadi lokasi tumpuan pelancong popular di Dieng tiba-tiba meletus pada jam 11.30 pagi (waktu tempatan) dan menghamburkan wap setinggi lebih 100 meter.

Jurucakap Agensi Bantuan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, seramai 17 pelancong berada berhampiran kawah berkenaan ketika letusan.

Katanya, 10 pelancong cedera akibat terkena wap panas dan terjatuh ketika cuba melarikan diri dari kawasan kawah.

“Semua mangsa dirawat di hospital dan mereka tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa menutup kawasan sekitar kawah gunung berapi berkenaan sebagai langkah keselamatan.

Kawah Sileri antara kawah paling aktif di banjaran Dieng dan pernah meletus beberapa kali sebelum ini.

Banjaran Dieng yang terletak pada ketinggian 2,000 meter dari aras laut adalah lokasi tumpuan pelancong popular kerana suhunya yang sejuk dan keunikan kuil Hindu berusia ratusan tahun. - Agensi

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 1:39pm
d