global

48 jam lagi untuk Qatar

Oleh Agensi

DUBAI: Empat negara Arab yang memulaukan Qatar kerana menuduh negara itu menyokong keganasan bersetuju memberi masa 48 jam lagi kepada Doha untuk memenuhi 13 tuntutan.

Qatar yang menafikan dakwaan terbabit menyatakan tuntutan Arab Saudi dan tiga sekutunya, termasuk menutup stesen televisyen al-Jazeera dan menutup pangkalan tentera Turki sebagai rancangan agar Doha tidak mampu memenuhi tuntutan berkenaan.

Kenyataan bersama sambungan tempoh 48 jam itu disiarkan agensi berita Arab Saudi, SPA, selepas tempoh sebelum ini, tamat semalam.

Kuwait menjadi orang tengah rundingan antara Qatar dengan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir yang menyatakan tindakan lebih keras bakal dihadapi Doha jika gagal memenuhi 13 tuntutan berkenaan.

Menurut Reuters, mereka tidak menyatakan tindakan lanjut terbabit, namun bank komersial di rantau itu yakin Arab Saudi dan sekutunya mungkin mengarahkan banknya menarik balik simpanan dan pinjaman antara bank dari Qatar.

Empat negara itu memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar pada 5 Jun lalu, menuduh Doha menyokong keganasan, campur tangan urusan empat negara terbabit dan bersekutu dengan Iran.

Disiarkan pada: July 3, 2017 @ 3:18pm
d