global

Daish terdesak

Oleh AFP

Mosul: Anggota militan Daish di bandar ini meningkatkan serangan berani mati dalam usaha terakhir mereka menghalang tentera Iraq daripada menawan seluruh Mosul, kata seorang komander kanan, semalam.

Lebih lapan bulan selepas operasi menawan semula Mosul dilancarkan, Daish kini hanya menguasai satu kawasan kecil di barat bandar raya berkenaan.

Komander kanan unit elit Perkhidmatan Antikeganasan (CTS), Leftenan Jeneral Sami al-Aridhi berkata, kumpulan militan itu menggunakan pengebom berani mati, khususnya wanita, di beberapa kejiranan sejak tiga hari lalu.

Sebelum ini, katanya, mereka hanya menggunakan penembak tepat dan bom.

“Setakat ini masih ada sekurang-kurangnya 200 anggota Daish di Mosul, kebanyakannya rakyat asing. Perang mungkin berakhir dalam masa lima hari hingga seminggu,” kata Sami.

Tentera Iraq semakin menguasai kota lama di barat Mosul sejak beberapa bulan lalu, tetapi lorong kecil dan bangunan di bandar itu yang dibina rapat serta jumlah orang awam yang ramai menyukarkan usaha menyerang saki-baki militan berkenaan.

Sementara itu, orang awam yang melarikan diri dari pertempuran kini mendapat rawatan di sebuah klinik sementara di Mosul.

“Mereka datang dari kota lama Mosul, tempat pertempuran sengit masih berlaku. Mereka lari daripada Daish, daripada kematian, kebuluran dan ketakutan,” kata seorang doktor, Nazar Salih.

Kejayaan menawan semula Mosul tidak akan menandakan berakhirnya perang terhadap Daish yang masih menguasai beberapa kawasan lain di Iraq serta negara jiran, Syria.

Iraq diramal berdepan cabaran hebat dari segi kawalan keselamatan selepas menawan semula Mosul seperti dapat dilihat dalam kejadian lewat kelmarin apabila seorang pengebom berani mati menyerang kem pelarian di barat Baghdad yang menyebabkan 14 orang mati dan mencederakan 13 yang lain.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam kejadian di wilayah Anbar itu, tetapi Daish kerap melaksanakan serangan seumpama itu terhadap orang awam di Iraq.

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 9:50am
d