global

Lapan maut helikopter terhempas

Jakarta: Lapan orang terbunuh apabila helikopter milik Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) terhempas, kemalangan udara terbaru di negara itu.

Helikopter berkenaan membawa empat anggota penyelamat dan empat kakitangan apabila ia terhempas di Tanah Tinggi Dieng di Jawa Tengah, tempat kawah gunung berapi aktif dan destinasi popular pelancong, Kawah Sileri, meletup jam 12 tengah hari kelmarin.

Semua lapan mayat mangsa ditemui dan dicam di kawasan kejadian, kata ketua BASARNAS, Muhammad Syaugi.

Kira-kira lima orang cedera ringan apabila kawah itu menghamburkan lahar sejuk, debu dan lumpur setinggi 50 meter ke udara.

Syaugi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan jawatankuasa keselamatan pengangkutan kebangsaan untuk menyiasat punca nahas itu.

Indonesia yang mempunyai rekod kemalangan udara yang buruk mengalami beberapa bencana udara sepanjang beberapa bulan lalu.

Disember lalu, sebuah helikopter tentera terhempas di kawasan pedalaman Borneo menyebabkan tiga orang terbunuh.

Dalam pada itu, jurucakap Badan Nasional Menangani Bencana (BPNB), Sutopo Nugroho berkata, pihak berkuasa mengarahkan pelawat dan penduduk di sekitar kawasan kawah gunung itu berpindah kerana bimbang berlaku letupan kedua. - Agensi

Disiarkan pada: July 4, 2017 @ 10:20am
d