global

Mahkamah Agung Filipina sokong Duterte

Manila: Mahkamah Agung Filipina semalam mengesahkan undang-undang darurat yang diisytiharkan Presiden Rodrigo Duterte di Mindanao bagi memerangi kumpulan militan termasuk kumpulan Daish.

Duterte mengumumkan undang-undang darurat beberapa jam selepas ratusan militan termasuk penyokong Daish menawan Marawi pada 23 Mei lalu.

Sehingga kini tentera kerajaan masih berusaha membebaskan sebahagian bandar itu yang masih dikuasai militan.

Pemimpin pembangkang sebelum ini memfailkan petisyen menggesa Mahkamah Agung membatalkan undang-undang darurat berkenaan kerana dianggap kekurangan asas.

Jurucakap Mahkamah Agong, Theodore Te memberitahu wartawan, hampir majoriti panel hakim menolak petisyen berkenaan.

Militan masih menguasai beberapa bahagian Marawi walaupun tentera melancarkan serangan hampir setiap hari dan menyebabkan lebih 460 orang terkorban.

Duterte berkata, dia mengisytiharkan undang-undang darurat kerana militan yang menyerang Marawi merancang mewujudkan pemerintahan khalifah di selatan negara itu.

Dalam petisyen mahkamah, pemimpin pembangkang memberi amaran, undang-undang darurat boleh membuka pintu kepada penindasan dan kekejaman seperti era pemerintahan diktator, mendiang Ferdinand Marcos.

Dalam Perlembagaan yang digubal bagi mengelak berulangnya era diktator, presiden hanya dibenarkan mengisytiharkan undang- undang darurat bagi menghalang pencerobohan atau pemberontakan.

Undang-undang itu pada peringkat awal hanya dihadkan kepada 60 hari dan sekiranya mahu dilanjutkan, Duterte perlu mendapat kelulusan Kongres. - AFP

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 9:51am
d