global

Suspek rogol mati dibelasah [VIDEO]

Oleh Agensi

SEORANG lelaki yang dituduh jawatankuasa kampung merogol dan membunuh budak perempuan lapan tahun, mati dibelasah orang ramai, termasuk wanita dan ibu kanak-kanak berkenaan di Dumka, Jharkhand, India.

Rakaman video menunjukkan ibu budak perempuan itu antara mereka yang bertubi-tubi memukul lelaki berkenaan menggunakan kayu panjang sambil mendukung seorang lagi anaknya.

Menurut Hindustan Times, lelaki yang disyaki itu dikenali sebagai Mithun Hansda, 25.

Ada beberapa versi mengenai kejadian membawa kepada lelaki berkenaan dituduh melakukan jenayah itu yang berlaku minggu lalu.

Antaranya, menurut Hindustan Times, penduduk mengesyaki Mithun terbabit dengan kehilangan budak perempuan berkenaan selepas mereka sama-sama menghadiri majlis perkahwinan di kampung itu, Selasa lalu.

Ketika dihadapkan ke jawatankuasa kampung Rabu lalu, Mithun memberitahu dia ada ternampak mangsa berdekatan sungai namun menafikan melakukan apa-apa kepada mangsa,

Pada Khamis, penduduk melakukan gerakan mencari dan menemui mayat budak perempuan itu di tebing sungai.

Seorang saksi berkata: “Penduduk kemudian mengikat Mithun dan dibawa ke tengah padang.

“Sekumpulan wanita diketuai ibu mangsa kemudian membelasahnya dengan kayu hingga mati.”

Polis yang tiba sudah terlambat dan membawa kedua-dua mayat ke hospital untuk bedah siasat.

Seorang pegawai polis berkata: “Bedah siasat akan menentukan sama ada budak perempuan itu dirogol atau tidak.”

Ketua Menteri Raghubar Das mengutuk kejadian itu dan mengarahkan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melaksanakan undang-undang sendiri itu.

Disiarkan pada: July 5, 2017 @ 4:47pm
d