global

Kereta curi Malaysia antara dibatal lelongan

Oleh AFP

SEBANYAK 95 kereta mewah ditarik daripada lelongan oleh Jabatan Kastam Thailand mulai hari ini, kerana didapati kereta yang dicuri dari negara asing, termasuk Britain, Malaysia, Singapura dan Jepun.

Namun, jabatan itu berjaya menjual ratusan kereta, termasuk ‘supercar’ yang dirampas kerana pelbagai kesalahan, termasuk tidak dibayar cukai atau milik sindiket dadah.

Thailand menjadi tumpuan baru-baru ini, selepas polis Britain menyatakan puluhan kereta mewah, termasuk Lamborghini, Ferrari dan Porsche yang dicuri di negara itu kini berada di ruang pameran kereta di Thailand.

Polis Thailand yang melancarkan operasi, merampas puluhan kereta yang diimport secara haram, termasuk sekurang-kurangnya tujuh yang dicuri di Britain.

Jurucakap Jabatan Kastam Thailand, Kreecha Kirdsriphan, berkata sebaik mengetahui 95 kereta itu dicuri dari negara lain, pihaknya mengeluarkannya dari senarai lelongan.

Antara kereta yang dikeluarkan ialah McLaren 650s supercar yang harga lelongan bermula 30 juta baht (RM3.8 juta) kerana didapati dicuri di Britain.

Namun, tanpa 95 kereta terbabit, jabatan itu yakin meraih $14.6 juta (RM62.8 juta) hasil jualan kira-kira 300 kereta termasuk Ferrari, Aston Martins, Lamborghini, Rolls Royces serta Bentley.

Kereta paling mahal dilelong hari ini ialah Ferrari California berwarna merah dengan harga permulaan 20.6 juta baht

(RM2.6 juta). Kereta itu dijual dengan harga sekitar AS$235,000 (RM1.01 juta) di Amerika Syarikat.

Thailand mengenakan cukai import kenderaan 300 peratus dan lonjakan ekonomi sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan permintaan terhadap kereta mewah dan supercar meningkat dalam kalangan jutawan dan bilionair.

Disiarkan pada: July 6, 2017 @ 8:09pm
d