global

Janji tindakan baru terhadap Qatar

Oleh Reuters

EMPAT negara Arab yang memulaukan Qatar akan mengambil tindakan baru selepas Doha menolak 13 tuntutan asal mereka.

Keengganan Qatar turut dilihat sebagai bukti kaitan negara itu dengan kumpulan pengganas, kata mereka.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Bahrain dalam satu kenyataan bersama hari ini, berkata, 13 tuntutan asal kini tidak sah dan berjanji akan mengambil tindakan politik, ekonomi dan undang-undang baru terhadap Qatar.

Bagaimanapun, langkah yang diambil oleh empat negera itu ditujukan kepada kerajaan Qatar bukan rakyatnya tetapi mereka tidak memberi maklumat lanjut berkenaan langkah yang bakal diambil atau tarikh pengumumannya.

Mereka turut berkata, kerajaan Qatar menyalahgunakan usaha diplomatik untuk menyelesaikan masalah itu dan kengganannya dianggap sebagai sabotaj berterusan terhadap kestabilan dan keselamatan di rantau itu.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan dengan Qatar 5 Jun lalu, sekali gus mencetuskan krisis diplomatik paling buruk di rantau itu sejak puluhan tahun lalu.

Mereka menuduh Doha menyokong fahaman pelampau dan terlalu rapat dengan musuh ketat Saudi, Iran. Tuduhan itu disangkal Qatar.

Antara tuntutan pakatan Saudi itu termasuk Qatar mengakhiri sokongannya kepada Ikhwanul Muslimin, menutup stesen penyiaran Al-Jazeera, menurunkan hubungan diplomatik dengan Iran serta menutup pangkalan tentera Turki di negara itu.

Jawapan Qatar terhadap tuntutan itu disampaikan kepada empat negara Arab berkenaan menerusi Kuwait, Isnin lalu, beberapa jam selepas tempoh akhir 10 hari yang diberikan kepada Qatar dilanjutkan 48 jam lagi.

Menteri Luar Arab Saudi dan sekutunya bermesyuarat di Mesir, kelmarin, selepas menerima jawapan Qatar.

Berita berkaitan:

Bincang jawapan Qatar hari ini

Qatar jawab tuntutan pakatan diketuai Saudi

48 jam lagi untuk Qatar

Terus dasar berkecuali

Disiarkan pada: July 7, 2017 @ 8:09am
d