global

Jutawan perkapalan mahu jadi Presiden Singapura

Singapura: Seorang pemilik firma perkapalan, Farid Khan Kaim Khan mengumumkan hasratnya bertanding dalam pilihan raya presiden Singapura.

Farid dalam satu sidang media semalam berkata, dia memutuskan untuk memenuhi hasrat dan kepercayaan orang ramai untuk bertanding merebut jawatan presiden yang diperuntukkan kepada kaum Melayu itu.

Pindaan Rang Undang-Undang Pilihan Raya Presiden Singapura pada Februari lalu menetapkan hanya calon Melayu boleh bertanding jawatan itu.

Farid yang berketurunan Pakistan dan Arab, adalah pengerusi syarikat perkhidmatan marin, Bourbon Offshore Asia.

Syarikat itu mengendalikan lebih 500 kapal tahun lalu dan mempunyai 9,300 kakitangan di 45 negara.

Apabila ditanya mengapa dia layak sebagai calon Melayu, sedangkan dia berketurunan Pakistan dan Arab, Farid menegaskan bahawa dia juga mempunyai darah Melayu.

“Saya lahir di kampung Melayu, Geylang Serai, nak macam mana lagi? Keluarga saya berkahwin dengan orang Melayu. Adat istiadat, orang Melayu. Saya bekerja pun dengan orang Melayu.

“Di sekeliling saya, di masjid, di pusat kebajikan, semuanya orang Melayu. Jadi susah untuk saya nak cakap saya bukan Melayu,” katanya.

Menurutnya dia akan mengisi borang pencalonannya minggu depan.

Pilihan Raya Presiden pada September ini dianggap unik kerana hanya calon Melayu bakal dipilih ke jawatan itu yang pertama sejak Yusof Ishak menjadi Presiden Singapura yang pertama hampir 50 tahun lalu. - Agensi

Disiarkan pada: July 13, 2017 @ 6:39am
d