global

Lebuh raya dalam pembinaan runtuh di Singapura

Singapura: Seorang pekerja warga asing maut dan 10 lagi cedera selepas sebuah lebuh raya bertingkat yang dalam pembinaan runtuh semalam, kata pihak berkuasa.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai warga China termasuk tiga pekerja lain yang cedera manakala bakinya adalah warga Bangladesh.

Kira-kira 60 anggota penyelamat bergegas ke lokasi kejadian tidak lama selepas kemalangan yang berlaku pada waktu subuh itu.

Gambar yang tersebar di Internet menunjukkan pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa dalam sisa runtuhan binaan berkenaan.

“Seramai 11 pekerja berada di atas binaan itu ketika kemalangan berlaku.

“Seorang pekerja maut dan 10 lagi cedera,” kata Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura yang memberitahu semua mangsa dibawa ke hospital.

Pihak berkuasa juga memulakan siasatan keselamatan berhubung kejadian berkenaan bagi mengenal pasti sekiranya ada kelemahan yang boleh diperbaiki segera.

Kemalangan di kawasan pembinaan di Singapura sangat jarang berlaku akibat peraturan ketat keselamatan yang dikenakan oleh pihak berkuasa.

Kebanyakan tenaga kerja di kawasan pembinaan di Singapura dilakukan oleh pekerja warga asing. - AFP

Disiarkan pada: July 15, 2017 @ 4:25am
d