global

Burger terbesar di dunia

Southgate: Sebuah restoran di bandar raya Detroit merampas semula gelaran pembuat burger terbesar di dunia.

Burger seberat 813 kilogram itu kini menjadi antara menu di Mallie’s Sports Grill & Bar.

Pemilik restoran, Steve Mallie mempunyai minat mendalam terhadap burger besar, bermula dengan menjual burger seberat 4.5 kilogram.

Pada 2008, dia menyertai pertandingan peringkat dunia dan burger yang dibuatnya seberat 6.3 kilogram dinobatkan oleh Buku Rekod Dunia Guinness sebagai Burger Terbesar Yang Dijual Secara Komersial.

Bagaimanapun, pada 2012, rekod itu diatasi sebuah restoran di Jepun.

Sepanjang empat tahun lalu Mallie merancang merampas semula kejuaraan itu.

“Kami membawa rekod itu semula ke tempat asalnya,” kata Mallie.

Menyediakan burger dengan menggunakan kira-kira 900 kilogram daging mentah bukan tugas yang mudah, katanya.

Burger itu dihias dengan 300 paun keju, tomato, bawang, jeruk dan salad.

Sebaik siap pada Isnin lalu, burger itu setinggi kira-kira satu meter dan lebar 1.5 meter.

Mallie menyajikan burger itu secara percuma kepada pelanggan. Sebahagiannya didermakan kepada penghuni rumah perlindungan.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan burger seumpama itu yang berharga AS$7,799 (RM33,384) perlu membuat pesanan tiga hari sebelum untuk membolehkan restoran itu menyediakannya. - Agensi

Disiarkan pada: July 17, 2017 @ 10:45am
d