global

'Berjaya' guna tangan baru [VIDEO]

Oleh AFP

KANAK-KANAK pertama menerima perpindahan tangan kini boleh menulis, makan sendiri dan memakai baju menggunakan tangan baru itu.

Doktor pada Selasa mengisytiharkan pembedahan menyambungkan tangan daripada seorang penderma itu sebagai satu kejayaan selepas 18 bulan.

Laporan dalam The Lancet Child & Adolescent Health memberi maklumat perubatab terkini secara rasmi berhubung kes Zion Harvey, 10, yang menjalani pembedahan untuk mengganti kedua-dua tangannya pada Julai 2015 di Children’s Hospital of Philadelphia di Pennsylvania, Amerika Syarikat.

“Lapan belas bulan selepas pembedahan itu, kanak-kanak ini lebih berdikari dan dapat menyiapkan beberapa aktiviti harian,” kata Sandra Amaral, seorang doktor di hospital itu.

“Dia semakin menunjukkan kemajuan dan menjalani terapi harian untuk meningkatkan fungsi tangannya serta mendapat sokongan psikososial untuk membantunya menghadapi pembedahannya,” katanya.

Tangan dan kaki Harvey terpaksa dipotong ketika dia berusia 2 tahun akibat jangkitan sepsis. Dia juga menjalani pemindahan buah pinggang.

Bagaimanapun, tangan penderma diperoleh pada Julai 2015 daripada kanak-kanak yang meninggal dunia.

Beberapa hari selepas pembedahan, Harvey dapat menggerakkan jarinya menggunakan ligamen daripada sisa anggota.

Lapan bulan selepas itu, Harvey boleh menggunakan gunting dan melukis dengan krayon.

Dalam tempoh setahun, dia dapat menghayun kayu besbol menggunakan kedua-dua tangan.

Imbasan yang dilakukan menunjukkan otaknya sudah menyesuaikan diri dengan tangan baru itu dan membangunkan laluan baru untuk mengawal pergerakan dan sensasi rasa.

Bagaimanapun, penyelidik berkata, kajian selanjutnya diperlukan sebelum pemindahan seperti ini lebih banyak dilakukan.

Kejayaan pemindahan tangan pada orang dewasa yang pertama berlaku pada 1998.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 2:20pm
d