global

Mercun punca Justine ditembak polis?

Oleh AFP

BUNYI bising yang didengari polis dalam kereta peronda menyebabkan anggota polis melepaskan tembakan yang membunuh wanita Australia di Minneapolis, Ahad lalu, ketika wanita itu yang menghubungi talian kecemasan 911 menghampiri kereta berkenaan.

Polis negeri Minnesota tidak menyatakan bunyi yang dimaksudkan itu namun seorang anggota polis yang merakam perbualan radio polis disiarkan di laman web Minnesota PoliceClips mengandaikan ia bunyi mercun yang kedengaran seperti tembakan.

Wanita itu, Justine Damond, 40, atau nama sebenarnya Justine Ruszczyk menghubungi talian 911 melaporkan dia mengesyaki ada kejadian serangan berdekatan rumahnya pada 11.30 malam.

Dua anggota polis, Matthew Harrity (memandu)dan Mohamed Noor dalam kereta peronda ke tempat kejadian tanpa menyalakan lampu matarah. Malah mereka juga tidak mengaktifkan kamera dalam kereta serta kamera tubuh yang wajib diaktifkan apabila bertindak balas terhadap sesuatu kejadian.

Menurut kenyataan polis, Harrity memberitahu penyiasat dia terkejut dengan ‘bunyi yang kuat’ dekat kereta sebelum Justine menghampiri mereka.

“Harrity membayangkan Mohamed mengeluarkan senjatanya dan menembak Justine melalui tingkap yang terbuka,” kata kenyataan itu.

Mereka kemudian cuba memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sementara pasukan paramedik tiba namun wanita itu disahkan mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan di abdomen.

Kenyataan polis itu adalah yang pertama memberi gambaran kejadian wanita berkenaan ditembak selepas keluarga mangsa dan keluarga tunangnya, Don Damond, mengkritik polis gagal memberi penjelasan.

Mohamed yang berasal dari Somalia, sudah 21 bulan menyertai pasukan polis Minneapolis, lulusan ijazah pentadbiran perniagaan dan ekonomi Kolej Augsburg.

Disiarkan pada: July 19, 2017 @ 7:17pm
d