global

Lahir anak tepi jalan

Oleh Agensi

Narathiwat: Satu rakaman video memaparkan detik cemas seorang wanita melahirkan anak di tepi jalan selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di sini kelmarin.

Menurut akaun Facebook Media Informasi News, Fatimah Matsing, 27, yang sarat mengandung menunggang motosikal bersama seorang anak perempuannya yang berusia tiga tahun.

Bagaimanapun, apabila tiba di kawasan Bangul Ranat di Daerah Yingo, motosikal Fatimah berlanggar dengan motosikal lain.

Kemalangan itu menyebabkan Fatimah dan anaknya cedera.

Bagaimanapun, Fatimah mengadu sakit mahu bersalin menyebabkan orang ramai yang membantunya panik.

Kerana ambulans lambat tiba, beberapa wanita menggunakan kain untuk menutup Fatimah dan membantu mangsa melahirkan bayinya di tepi jalan.

Selepas beberapa minit akhirnya Fatimah selamat melahirkan anaknya.

Bayi itu kemudian dibersihkan sebelum dibawa ke hospital bersama ibunya.

Menurut laporan media, Fatimah dan bayinya berada dalam keadaan sihat dan dirawat di sebuah hospital di Narathiwat.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 2:58am
d