global

<p>Timbang tarik balik pengesan logam</p>

Oleh Reuters

Baitulmaqdis: Pemimpin Israel, Benjamin Netanyahu dilapor menimbang untuk menarik balik pengesan logam di laluan masuk ke Al-Haram Al-Sharif yang pemasangannya mencetuskan bantahan besar-besaran rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia, kata seorang anggota Kabinetnya.

Pertempuran berlaku setiap malam antara penduduk Palestin dengan Israel sejak pengesan logam itu dipasang di laluan menuju ke Masjid Al-Aqsa, Ahad lalu.

Ketegangan semakin meningkat menjelang solat Jumaat hari ini apabila kira-kira 30,000 Muslim biasanya bersesak-sesak ke masjid yang ketiga paling suci umat Islam itu.

Pihak berkuasa Al-Aqsa yang berkata pengesan logam berkenaan mencabuli perjanjian rumit mengenai hak untuk bersolat dan peraturan keselamatan menggesa penduduk Palestin tidak memasuki masjid berkenaan, sebaliknya hanya menunaikan solat di luar kompleks itu.

Mereka juga mendakwa tindakan memasang peralatan itu sebahagian daripada usaha Israel untuk menguasai kawasan suci berkenaan.

Di Gaza, Ismail Haniyeh, pemimpin pergerakan Hamas yang memerintah wilayah itu menggesa penduduknya mengadakan tunjuk perasaan hari ini bagi membantah tindakan Israel itu.

Netanyahu dijangka mengadakan perbincangan mengenai isu itu dan akan memutuskan tindakan selanjutnya sekembalinya dari lawatan ke Perancis dan Hungary, kata Menteri Keselamatan Awam rejim itu, Giland Erdan.

Anggota pelampau dalam kerajaannya secara terbuka mendesak dia mengekalkan pengesan logam itu.

Bagaimanapun, media Israel melaporkan, ketua keselamatan berbelah bahagi mengenainya kerana bimbang kekacauan akan merebak.

Bekas ketua polis rejim itu dipetik oleh media tempatan sebagai berkata, usaha memastikan ribuan orang berjalan menerusi pengesan logam itu akan mencetuskan kekacauan besar.

Israel menawan Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat dalam Perang 1967.

Penduduk Palestin berusaha menubuhkan sebuah negara merdeka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Hasrat ini bagaimanapun ditentang Israel yang menganggap seluruh Baitulmaqdis ibu negaranya, tuntutan yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Disiarkan pada: July 21, 2017 @ 11:11am
d