global

Dua maut dihempap

Oleh Agensi

Theologos: Dua warga asing terbunuh awal pagi semalam dan lebih 100 cedera di Pulau Kos, Greece apabila gempa bumi menggegarkan destinasi percutian popular Greece dan Turki di Laut Aegean.

Pusat gempa 6.7 magnitud itu ialah kira-kira 10 kilometer ke selatan Bodrum pusat peranginan utama Turki yang menjadi tumpuan pelancong pada musim panas dan 16.2 kilometer ke timur Pulau Kos.

Polis berkata, seorang warga Sweden dan seorang warga Turki terbunuh.

Mayat kedua-dua mangsa yang berusia 27 dan 39 tahun itu ditemui di jalan raya, dihempap oleh tembok sebuah bar yang runtuh atau batu yang jatuh dari rumah lama berhampiran.

Jurucakap kerajaan Greece, Dimitris Tzanakopoulos berkata, pihak berkuasa menutup lalu lintas di pelabuhan Kos sementara kerosakan di tempat lain tidak teruk.

“Keadaan di pulau berkenaan sudah kembali seperti biasa,” kata Tzanakopoulos kepada wartawan.

Menurutnya, lima mangsa yang cedera teruk diterbangkan ke sebuah hospital di Pulau Crete.

Gegaran juga dirasakan di Pulau Rhodes. Seorang wartawan AFP di Theologos, kira-kira 30 kilometer dari bandar Rhodes berkata, hotel tempat dia menginap bergegar seperti bot di lautan ketika kejadian itu.

Di Bodrum, pihak berkuasa memindahkan pesakit di sebuah hospital selepas keretakan dilihat pada bangunannya selepas gempa itu.

Gabenor wilayah Mugla, tepat terletaknya Bodrum berkata, beberapa penduduk cedera selepas mereka terjun dari tingkap kerana cemas.

Turki dan Greece sering dilanda gempa bumi kerana terletak di atas garisan sesar.

Gempa bumi besar berukuran lebih 7.0 magnitud berhampiran bandar Izmit di Turki pada 17 Ogos 1999 memusnahkan kawasan itu dan menyebabkan lebih 17,000 orang mati.

Disiarkan pada: July 22, 2017 @ 2:43am
d