global

Dapat tali gantung

Oleh AFP

Kaherah: Sebuah mahkamah di Mesir semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap 28 orang kerana pembabitan mereka dalam kematian pendakwa tertinggi negara itu, dua tahun lalu.

Peguam Negara, Hisham Barakat terbunuh pada 2015 apabila bom kereta meredah konvoinya di Kaherah tidak lama selepas kumpulan militan negara itu menggesa membalas dendam terhadap badan kehakiman Mesir susulan tindakan tegas terhadap organisasi tertentu.

Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu.

Bagaimanapun, polis menahan beberapa orang didakwa bertanggungjawab dan dikatakan anggota Ikhwanul Muslimin yang diharamkan di Mesir.

Selain itu, 15 orang dihukum penjara seumur hidup berhubung kejadian sama.

Lapan yang lain dijel 15 tahun manakala 15 lagi diberi hukuman penjara 10 tahun, kata pihak berkuasa.

Hukuman mati berkenaan sudah diluluskan mufti besar Mesir. Bagaimanapun, ia masih boleh dirayu di mahkamah lebih tinggi.

Mesir berdepan pemberontakan sejak tentera menggulingkan Presiden Mohamed Mursi dari Ikhwanul Muslimin pada 2013 dan mengambil tindakan tegas terhadap penyokongnya.

Mahkamah menjatuhkan pelbagai hukuman terhadap ratusan penyokong Mohamed, termasuk hukuman mati.

Bagaimanapun, ramai yang berjaya merayu terhadap hukuman dikenakan.

Mohamed serta pemimpin kanan lain dalam Ikhwanul Muslimin juga berdepan pelbagai tuduhan serta hukuman.

Disiarkan pada: July 23, 2017 @ 3:54am
d